Gemalai irama nadi PGLM
TIDAK dinafikan, kehebatan Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLM) sememangnya terletak kepada naskhah dan emosi para pelakonnya yang cukup bijak mewarnakan watak masing-masing.
Bukan itu sahaja, kecemerlangan rekaan set pentas dan busana yang indah turut menyumbang kepada fenomena PGLM sehingga ia berjaya menjadi persembahan yang cukup hebat untuk ditonton.
Namun, harus diakui kesemua aspek yang disebutkan itu sebenarnya tidak cukup untuk melengkapkan PGLM sehingga ia menjadi sebuah karya yang cukup gah.
Antara sedar atau tidak, irama gemalai muzik yang melatari pementasan PGLM juga memainkan peranan yang cukup penting dalam PGLM dan ia tidak seharusnya dipandang sebelah mata sahaja.
Alunan indah muzik nusantara yang ditampilkan banyak memainkan peranan penting untuk terus memastikan PGLM terus hidup dan menjadi santapan halwa telinga penonton.
Namun, tidak ramai yang tahu betapa sukarnya untuk mencipta muzik indah dalam PGLM tetapi dengan sentuhan magis si bijak bestari ini, tiada apa yang mustahil untuk merealisasikan sesuatu yang sukar.
Roslan Aziz yang sudah dua musim diberi mandat sebagai pengarah muzik PGLM kini sudah bersedia untuk menggegarkan musim ketiga PGLM yang hanya akan membuka tirainya beberapa hari sahaja lagi.
"Mungkin orang akan beranggapan apabila sudah dua musim saya mengendalikan muzik untuk PGLM, ia akan menjadi sesuatu yang mudah dijangka.
"Memang saya tidak menafikan perkara itu tetapi untuk musim kali ini, saya melakukan beberapa perubahan agar muziknya menjadi lebih indah seiring dengan jalan ceritanya," kata Roslan sewaktu ditemui pada sesi latihan PGLM di Istana Budaya baru-baru ini.
Tambahnya, 50 peratus perubahan telah dilakukan untuk PGLM musim ini namun bukan mengubah apa yang telah dilakukan tetapi ia lebih kepada memperhalusi muziknya agar ia mampu meninggalkan impak yang besar kepada penonton.
"Untuk dua musim terdahulu, saya telah mengesan beberapa lompangan dalam muziknya. Memang nampak kecil tetapi bagi saya, ia satu yang cukup besar. Kelemahan itu saya ambil lalu diperbaiki untuk musim ini," ujarnya.
Mengenal Roslan, dia merupakan seorang yang cukup teliti dalam penghasilan muzik dan dengan itu, maka tidak hairanlah, apa sahaja yang melibatkan dirinya, ia akan menjadi sesuatu yang tidak harus dilepaskan.
"Sebelum menghasilkan muzik PGLM, saya membaca skripnya selain berbincang dengan Datuk Zahim Al-Bakri selaku pengarah untuk mengetahui apakah yang dikehendakinya.
"Kami banyak melontarkan idea masing-masing dan daripada situ, saya gabungkan dan memikirkan apa yang terbaik untuk saya lakukan.
"Yang penting, saya tidak mahu berlebih-lebihan membuat perubahan kerana identiti muzik PGLM sudah termaktub. Jika saya tersilap langkah, ia akan menjadi buruk dan merosakkan segala-galanya," ujar bapa kepada lima orang anak ini lagi.
Kali ini juga, Roslan banyak dibantu oleh dua orang pemuzik profesional iaitu Jason Voo dan Zee Wan yang akan bermain muzik sepanjang 16 hari PGLM dipentaskan nanti.
Ketika ditanya, dari manakah beliau mendapat ilham untuk mencipta muzik PGLM dan ini jawapan yang terpacul dari mulutnya: "Saya pecinta muzik Melayu dan saya mahu muzik nusantara pergi jauh serta diangkat martabatnya di mata dunia."
Berbanding dengan muzik dalam P. Ramlee the Musical, PGLM sebenarnya lebih mencabar kredibilitinya sebagai seorang pengkarya.
Ini kerana, muzik P. Ramlee sememangnya sudah diketahui umum dalam kepelbagaian genrenya. Malah, melodinya juga sudah biasa didengar tetapi tidak untuk PGLM.
"Bukan mudah untuk mencipta muzik yang baru untuk dihidangkan kepada penonton apatah lagi dengan muzik nusantara yang saya lihat agak sukar untuk diterima dengan meluas.
"Pada saya, muzik kita memang cukup indah dan mengapa tidak digunakan dalam pementasan kita sendiri. Tidak perlu untuk mengikut acuan Barat kerana kita perlu ada identiti yang melambangkan budaya kita.
"Disebabkan itu, saya percaya, muzik PGLM mempunyai magisnya yang tersendiri dan apa yang saya mahukan, setiap muzik dan lagu yang dipersembahkan, akan terus meresap dalam diri penonton agar mereka menghargai muzik kita sendiri," jelas Roslan lagi.
No comments:
Post a Comment